Monday, February 21, 2011

Surah al-Fathir, Bahagian 1

Buat renungan dan ingatan kepada diri ini yang sering alpa, juga kepada semua pembaca blog ini... Saya mengalu-alukan sebarang komen atau teguran sekiranya terdapat kesilapan...

Surah Al-Faathir merupakan surah yang ke 35, dalam Juz 22. Surah ini mengandungi 45 ayat dan tergolong sebagai surah-surah Makiyyah. Ia diturunkan sesudah Surah Al-Furqaan dan merupakan surah terakhir dalam urutan surah-surah Al-Quran yang dimulai dengan "Alhamdulillah".

Surah ini yang dinamakan "Faathir (Pencipta)" ada hubungan dengan perkataan "Faathir" yang terdapat pada ayat pertama surah ini. Pada ayat tersebut diterangkan bahawa Allah adalah Pencipta langit dan bumi, Pencipta malaikat-malaikat, Pencipta alam semesta yang semua itu adalah bukti Kekuasaan dan Kebesaran-Nya.

Surah ini dinamakan juga "Surah Malaikat" kerana pada ayat pertama disebutkan bahawa Allah SWT telah menjadikan malaikat-malaikat sebagai utusan-Nya yang mempunyai beberapa sayap.

(Sumber: Al-Quran dan Terjemahan)

Bahagian 1 : Ayat 1 hingga 20


Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.



Segala puji tertentu bagi Allah yang menciptakan langit dan bumi, yang menjadikan malaikat utusan-utusan yang bersayap: Dua, tiga dan empat; Dia menambah pada bentuk kejadian makhluk yang diciptakan-Nya apa jua yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (1)


Apa jua jenis rahmat yang dibukakan oleh Allah kepada manusia, maka tidak ada sesuatupun yang dapat menahannya dan apa jua yang ditahan oleh Allah maka tidak ada sesuatupun yang dapat melepaskannya sesudah itu dan (ingatlah) Dialah sahaja Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (2)


















Wahai umat manusia, kenangkanlah nikmat Allah yang telah dikurniakanNya kepada kamu; tidak ada sama sekali yang menciptakan sesuatu selain daripada Allah; Dia memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi. Tiada Tuhan melainkan Dia, maka mengapa kamu rela dipalingkan (dari menyembahnya)? (3)



Dan jika mereka mendustakanmu (wahai Muhammad), maka sesungguhnya Rasul-rasul yang terdahulu sebelummu telah juga didustakan (oleh kaumnya masing-masing). Dan (Ingatlah), kepada Allah jualah dikembalikan segala urusan. (4)



Wahai umat manusia, sesungguhnya janji Allah (membalas amal kamu) adalah benar; maka janganlah kamu diperdayakan oleh kemewahan hidup di dunia dan janganlah syaitan yang menjadi sebesar-besar penipu itu berpeluang menyebabkan kamu terpedaya dengan (kemurahan) Allah (lalu kamu lalai dan menderhaka). (5)



Sesungguhnya syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya); sebenarnya dia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi dari penduduk neraka. (6)


Orang-orang yang kafir, bagi mereka azab yang berat dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, bagi mereka keampunan dan pahala yang besar. (7)


Maka (fikirkanlah) adakah orang yang diperelokkan kepadanya amal buruknya (oleh syaitan) lalu dia memandangnya dan mempercayainya baik, (bolehkah disifatkan sebagai orang yang menjalankan peraturan yang ditetapkan Allah untuk memberi hidayat kepadanya atau sebaliknya?) kerana sesungguhnya Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Dia juga memberi hidayat petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Oleh itu, janganlah engkau membinasakan dirimu (wahai Muhammad) kerana menanggung dukacita terhadap kesesatan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka kerjakan. (8)



Dan Allah jualah yang menghantarkan angin, lalu angin itu menggerakkan awan, kemudian Kami halakan awan itu ke negeri yang mati (yang kering kontang); lalu Kami hidupkan bumi sesudah matinya dengan (hujan dari awan) itu. Sedemikian itu pula kebangkitan manusia (hidup semula sesudah mati). (9)




Sesiapa yang mahukan kemuliaan (maka hendaklah dia berusaha mencarinya dengan jalan mematuhi perintah Allah), kerana bagi Allah jualah segala kemuliaan. Kepada Allah lah naiknya segala perkataan yang baik (yang menegaskan iman dan tauhid, untuk dimasukkan ke dalam kira-kira balasan) dan amal yang soleh pula di angkatnya naik (sebagai amal yang makbul yang memberi kemuliaan kepada yang melakukannya) dan sebaliknya: Orang-orang yang merancangkan kejahatan (untuk mendapat kemuliaan), adalah bagi mereka azab seksa yang berat dan rancangan jahat mereka (kalau berkesan) akan rosak binasa. (10)



Dan Allah menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari (setitis) air benih, kemudian Dia menjadikan kamu berpasangan (lelaki dan perempuan) dan tiada mengandung seseorang perempuan (juga seekor betina) dan tidak pula satu-satunya melahirkan (anak yang dikandungnya) melainkan dengan keadaan yang diketahui Allah dan tidak diberikan seseorang berumur panjang, juga tidak dijadikan seseorang pendek umurnya, melainkan ada kadarnya di dalam Kitab Ilahi. Sesungguhnya yang demikian itu mudah sahaja kepada Allah. (11)



Dan tidaklah sama keadaan dua laut (sekalipun satu jenisnya), yang satu tawar lagi memuaskan dahaga serta sesuai diminum, sementara yang satu lagi masin lagi pahit dan (kedua-duanya itu berfaedah kepada kamu): Dari tiap-tiap satunya kamu dapat makan daging yang lembut hidup-hidup dan dapat pula kamu mengeluarkan benda-benda perhiasan untuk kamu memakainya; (selain itu) engkau melihat pula kapal-kapal membelah air belayar padanya; (diadakan semuanya itu) supaya kamu dapat mencari rezeki dari limpah kurnia Allah dan supaya kamu bersyukur. (12)










































Allah jua yang memasukkan malam pada siang dan memasukkan siang pada malam (silih berganti) dan Dia yang memudahkan peredaran matahari dan bulan; tiap-tiap satu dari keduanya beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Yang melakukan semuanya itu ialah Allah Tuhan kamu, bagi-Nyalah kuasa pemerintahan; sedang mereka yang kamu sembah (yang lain dari Allah) tidak mempunyai sesuatu pun walau senipis selaput biji kurma. (13)

























Kalau kamu memohon kepada mereka (yang kamu sembah itu): Mereka tidak mendengar permohonan kamu dan kalaulah mereka mendengar pun, mereka tidak dapat memberikan apa yang kamu pohonkan itu dan pada hari kiamat pula mereka mengingkari perbuatan syirik kamu dan (ingatlah) tidak ada yang dapat memberitahu kepadamu (wahai Muhammad, akan hakikat yang sebenarnya) seperti yang diberikan Allah Yang Maha Mendalam Pengetahuan-Nya. (14)

(Oleh kerana Allah menguasai segala-galanya, maka) wahai umat manusia, kamulah yang sentiasa berhajat kepada Allah (dalam segala perkara), sedang Allah Dialah sahaja Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji. (15)


Jika Dia mahu, nescaya Dia membinasakan kamu dan mendatangkan makhluk yang baru. (16)



Dan (perlaksanaan) yang demikian itu tidaklah sukar bagi Allah. (17)



Dan (ketahuilah), seseorang pemikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain dan jika seseorang yang berat tanggungnya (dengan dosa), memanggil (orang lain) untuk menolong memikul sama bebanan itu, tidak akan dapat dipikul sedikitpun daripadanya, walaupun orang yang diminta pertolongannya itu dari kerabatnya sendiri. Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) hanyalah memberi peringatan kepada orang-orang yang takut (melanggar hukum-hukum) Tuhan semasa mereka tidak dilihat orang dan semasa mereka tidak melihat azab Tuhan, serta mereka mendirikan sembahyang dan sesiapa yang membersihkan dirinya (dari segala yang dilarang) maka sesungguhnya dia melakukan pembersihan itu untuk kebaikan dirinya sendiri dan (ingatlah), kepada Allah jualah tempat kembali. (18)


Dan tidaklah sama orang buta dengan orang yang melihat. (19)


Dan tidaklah sama gelap-gelita dengan cahaya yang terang-benderang (20)
















No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...